Sumber: Utusan Malaysia 1/9/08
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) bersetuju bahawa BN perlukan format baru untuk menarik sokongan generasi muda.
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) bersetuju bahawa BN perlukan format baru untuk menarik sokongan generasi muda.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, BN perlu mendengar suara generasi muda dan membuat perubahan untuk terus relevan.
''Ini menuntut semua dalam BN termasuk komponen menerima landskap politik bincang secara ikhlas, jujur, hormat-menghormati pegangan masing-masing,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa format dan pengisian BN perlu diolah semula bagi menarik sokongan generasi muda sekali gus mengekalkan statusnya sebagai parti pemerintah.
Menurut Hishammuddin, Exco Pemuda UMNO sudah pun mengumpul maklum balas daripada golongan muda sejak enam bulan yang lalu.
''Golongan yang terlibat ialah profesional muda, pekerja kilang dan pemuda motor.
''Setiap parti termasuk parti-parti dalam pakatan rakyat masih lagi berasaskan perkauman. Oleh itu BN paling sesuai. Saya yakin BN boleh,'' kata Hishammuddin.
Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Samsuddin berkata, pada masa ini wujud satu trend iaitu kononnya lebih 'hebat' jika para remaja menyokong pembangkang.
''Perkembangan ini menjadi satu halangan mental dalam menarik lebih ramai golongan muda kembali kepada BN.
''Justeru BN perlu mencari satu formula di mana golongan muda akan merasa lebih yakin dan serasi dengan BN berbanding pembangkang,'' katanya.
PerhatianMenurut Shahaniza, golongan muda merasakan suara mereka banyak mendapat perhatian pembangkang yang sentiasa berusaha menambah sokongan pada semua peringkat.
"Mereka anggap 'cool' kerana peranan mereka mendapat perhatian, suara mereka didengari terutamanya menerusi luahan di Internet.
"Oleh itu, BN perlu cari jalan bagaimana suara mereka ini dapat diluahkan dalam medium yang lebih baik dan menampakkan ia bukan sahaja diberi perhatian malah turut diambil kira dalam membuat dasar," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai bersetuju bahawa BN memerlukan format baru memandangkan golongan muda pada masa ini mempunyai aspirasi yang berbeza.
''Kerjasama di antara semua parti-parti komponen BN perlu dipertingkatkan dan dieratkan.
''Kita tidak boleh mengunakan konsep UMNO berkempen untuk kawasan Melayu, MCA di kawasan Cina dan MIC di kawasan India. BN perlu mengadakan kempen bersama,'' katanya.
Jelas Tiong Lai, parti-parti komponen BN juga perlu berhenti memainkan isu perkauman kerana rakyat sudah muak dengan taktik tersebut.
''Selain itu, mesyuarat BN perlu diadakan di peringkat pusat, negeri dan daerah supaya kerjasama di akar umbi sentiasa kukuh.
''Selama ini BN hanya bermesyuarat di peringkat pusat sementara parti komponen di peringkat negeri dan daerah kerjasama BN dilihat kurang mantap,'' katanya.
Sementara itu, di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah melaksanakan beberapa perubahan yang sesuai dengan kehendak golongan muda di negeri ini bagi menarik penyertaan mereka dalam BN.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah mengamalkan dasar tersebut menerusi pelaksanaan Dasar Gelombang Kedua yang diperkenalkan ketika pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) 2006.
Menurutnya, langkah mendekati golongan muda ini dengan memberi penjelasan berhubung dasar kerajaan adalah perlu kerana mereka akan mengambil alih kepimpinan dari barisan pemimpin sedia ada.
''Sehubungan itu, kita telah mewujudkan dasar ini yang memberi peluang kepada generasi muda memahami apa yang dilaksanakan oleh pemimpin sekarang," katanya.
Abang Johari menambah, PBB menyedari akan pentingnya golongan muda ini memahami apa yang dilaksanakan kerajaan kerana pembangunan yang dibuat ini adalah untuk kebaikan mereka di masa hadapan.
KoMEN; SuriaPAgi yakin agenda ini dapat direalisasikan jika semua pemimpin BN bersatu. YAKIN lah anda adalah pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan rakyat sehingga hari ini masih menantikan tindakan yang wajar dalam tangani pelbagai isu negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan